Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, program itu dikenali sebagai Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran.

“Program ini memudahkan kerajaan untuk merangka satu kaedah khusus penyelesaian isu yang melibatkan proses bantuan kebajikan atau perundangan membabitkan pekerja warga asing.

“Peka memainkan peranan kemanusiaan dalam memberikan perkhidmatan biro guaman serta pengurusan dan penghantaran pulang jenazah ke negara asal mereka yang terpinggir ekoran menjadi mangsa penipuan ejen dan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, setakat ini, lebih 12,000 warga asing kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh mendaftar di bawah Program Kebajikan Dan Khidmat Imigran tersebut.

Katanya, usaha itu tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, sebaliknya lebih bersifat kerjasama antara agensi berkaitan dalam bentuk perkongsian kepakaran dan tanggungjawab antara kedua-dua belah pihak.

“Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan cukup baik yang menekankan pendekatan psikologi sebagai alternatif kepada kawalan penguatkuasaan dalam menangani krisis migrasi haram atau pendatang asing tanpa izin,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE