Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, se­hubung­an itu, pihaknya akan menambah baik garis panduan sedia ada bagi memberi perhatian lebih serius terhadap perilaku pelajar.

“Sekiranya ada sebarang per­kembangan sedemikian, pihak sekolah diminta mengambil tindakan mencegah.

“Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengadakan perbincangan dengan ibu bapa murid terbabit selain merujuk kepada guru kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Muhamad ­Ariel Hafiz Yahsin, 12, di rumah­nya di Felda Cahaya Baru, Rabu lalu.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shaharuddin Shariff.

Mahdzir memberitahu, laporan Jabatan Pendidikan negeri mendapati Allahyarham merupakan seorang murid yang tidak mempunyai sebarang masalah disiplin di sekolah.

“Berdasarkan laporan, tiada sebarang masalah direkodkan de­ngan kehadiran Allahyarham juga baik sebelum ini, kecuali beberapa hari sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan kepada ibu angkat Allahyarham, Sapiah Omar.