Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan Pati khususnya yang ditahan di pusat tahanan Imigresen di negara ini.


Jelasnya, kos penghantaran bakal menggunakan 100 peratus dana kewangan sumbangan badan korporat antarabangsa yang prihatin dengan nasib masyarakatnya.


“Peka telah mengemukakan kertas kerja pada mereka (penyumbang) dan sedang menunggu maklum balas yang diharapkan positif.


“Usaha ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk turut membantu masyarakat berkaitan isu-isu kemanusiaan selain memainkan peranan penting dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Zuhari berkata, keutamaan akan diberikan kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas serta mereka yang mengalami masalah kesihatan serius.


Menurutnya, usaha itu juga dilakukan bagi mengelakkan kerajaan menanggung kos perbelanjaan tinggi di depot tahanan Imigresen apabila tahanan PATI meningkat.


Usaha itu katanya, secara tidak langsung membantu dan mendokong usaha kerajaan dalam mengurangkan lambakan PATI.


“Peka menyeru khususnya kepada kerajaan agar menyambut baik serta menyokong inisiatif ini dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya. - UTUSAN ONLINE.