LEE LAM THYE

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ke­­rajaan tidak seharusnya menerima alasan sedemikian kerana penjualannya akan mendedahkan kanak-kanak kepada tabiat buruk mero­kok.

“Dakwaan pek kecil itu dapat membantu mengurangkan gejala merokok dan penjualan rokok haram sangat tidak boleh diterima kerana produk yang boleh membunuh itu mudah diperoleh di merata tempat.

“Kita sepatutnya terus meng­haramkan pek kecil tersebut demi menyelamatkan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pek kiddie mengandungi 10 batang rokok dijual semula kerana harganya yang lebih murah dianggap dapat membantu mengurangkan penjualan rokok haram.

Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia menegaskan, pek kecil tersebut mampu menarik minat perokok baharu atau bukan tegar seperti perokok sosial, wanita dan kanak-kanak untuk membelinya.

“Ia boleh menarik minat lebih ramai orang terutama golongan kanak-kanak yang sedang mencuba untuk me­rokok sekali gus boleh menyebabkan mereka ketagihan dan menjadi pelanggan se­umur hidup kepada industri tembakau.

“Adalah lebih wajar pihak berkuasa memfokuskan usaha untuk menghentikan budaya merokok ini dengan cara mengurangkan akses melalui pelesenan yang ketat, mengurangkan kemampuan mereka dengan menaikkan harga serta menjadikan pek rokok kurang menarik,” katanya.