Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sisipan tersebut dihasilkan dengan hasrat untuk memastikan roh perjuangan RAMD dapat dihayati dan diteruskan.

Menurut beliau, Pejuang juga berupaya memarakkan api semangat dalam obor perjuangan yang diwarisi daripada generasi pejuang-pejuang RAMD terdahulu.

“Saya percaya Pejuang memberi makna kepada perjuangan, pengorbanan, keringat, darah serta air mata yang dicurahkan oleh mereka yang sanggup me­lakukan apa sahaja demi memastikan kita dapat hidup dalam negara yang berdaulat dan bermaruah.

“Usaha ini mesti diteruskan untuk ge­nerasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabat beliau di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah menyerahkan naskhah edisi pertama sisipan Pejuang kepada Hishammuddin.

Edisi sulung sisipan itu akan diedarkan bersama Utusan Malaysia pada Khamis ini de­ngan memaparkan sejarah awal penubuhan RAMD, kisah keperwiraan para pegawai dan anggotanya dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh serta perkembangan rejimen tersebut dalam era moden.

Pejuang turut diedarkan ke beberapa kem dan pangkalan tentera di selu­ruh negara termasuk Kementerian Pertahanan dan Kem Perdana Sungai Besi di sini, Kem Pengkalan Chepa di Kelantan, Kem Muara Tuang di Kuching serta Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan berkai­tan, Hishammuddin memberitahu, usaha mengumpulkan bahan-bahan sejarah berkaitan RAMD perlu dipergiatkan agar lebih banyak artifak boleh dipamerkan untuk rujukan generasi muda di negara ini.