Mohd. Taib Osman
Mohd. Taib Osman

Beliau meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi di sisi isterinya, Datin Zahirah Zainuddin, 82, dan kelima-lima anaknya termasuk anak ketiga, Nur Ashikin Mohd. Taib yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh.

Anak bongsu Allahyarham, Nur Afifi, 40, berkata, sehingga selepas subuh tadi bapanya masih sedar dan anak-anak serta cucu-cucunya seramai lapan orang sempat berada di sisinya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Sehingga ke akhir hayatnya walaupun dalam keadaan sakit, bapa masih sempat meninggalkan pelbagai nasihat.

“Kami tidak menyangka bahawa sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini adalah terakhir bersama arwah kerana bapa sempat beraya bersama-sama kami dan makan makanan kegemaran beliau iaitu lontong,” katanya.

Beliau ditemui selepas urusan memandikan dan mengkafan jenazah arwah bapanya yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (1991-1994) di Masjid Kolej Islam Malaya Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Nur Afifi berkata, sehingga ke akhir hayat bapanya banyak menghabiskan masa dengan menulis dan membaca walaupun menghadapi masalah penglihatan akibat komplikasi diabetes.

“Bapa sempat menulis sendiri memoir dirinya yang kini dalam bentuk draf dan insya-Allah akan diterbitkan pada tahun ini juga.

“Melalui memoir ini beliau sempat meninggalkan pelbagai wasiat dalam bentuk nasihat mengenai cinta dan kasihnya terhadap dunia Melayu terutama dari aspek sejarah, budaya dan sastera,” katanya.

Menurutnya, bapanya berasal dari Siglap, Singapura dan meninggalkan banyak hasil tulisan yang berbentuk jurnal dan buku-buku yang kesemuanya mengenai dunia Melayu di samping koleksi buku yang kebanyakannya bersifat nadir dan masih tersimpan di UM dan Persatuan Sejarah Melayu.

Solat jenazah diadakan selepas solat asar yang dihadiri oleh seluruh kaum keluarga, saudara mara dan kenalan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.