ICA dalam satu kenyataan memberitahu, pembukaan pejabat tersebut sekali gus dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pegawai pematuhan ke arah kecekapan dan akauntabiliti yang lebih telus di negara ini.

“ICA akan menyediakan latihan kepada pegawai pematuhan meliputi inisiatif dan keperluan global merangkumi undang-undang serta peraturan tempatan dalam mengukuhkan pasaran kewangan negara ini.

“Institut Bank-Bank bertauliah (ACIB) dan Institut Insurans Malaysia (MII) adalah rakan kongsi ICA yang akan membantu sasaran tersebut termasuk menyediakan set alatan yang khusus bagi industri perbankan dan kewangan Malaysia, “ kata persatuan itu.

Sementara itu, menurut ICA, satu perbincangan eksklusif yang dihadiri pakar-pakar kepatuhan negara dari pelbagai industri telah diadakan bersempena pembukaan cawangan ICA di Malaysia.

“Bagi merealisasikan komuniti kepatuhan global itu, perbincangan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibangkitkan dan menerima banyak soalan hangat berkaitan prinsip keterbukaan dan ketulusan kerajaan baharu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE