LAPORAN polis yang dibuat oleh Mohd. Khairul Azam.-UTUSAN ONLINE
LAPORAN polis yang dibuat oleh Mohd. Khairul Azam.-UTUSAN ONLINE

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang juga peguam mewakili kes melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid memohon pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tindakan Tommy menggugurkan kes tersebut.

Mohd. Khairul Azam dalam laporan polis itu berkata, beliau terkejut dengan kenyataan media SPRM yang amat terkejut dengan keputusan mahkamah melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon.

"Di dalam kenyataan media yang sama, SPRM juga menegaskan bahawa keputusan Peguam Negara menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Peguam Negara sendiri dan bukannya daripada SPRM.

"SPRM buat pertama kalinya dalam sejarah negara mengeluarkan kenyataan media sedemikian yang menunjukan konflik antara SPRM dan Peguam Negara. Kenyataan ini berbaur penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara Tommy Thomas dalam menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng," kata Mohd Khairul Azam.

Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta di kediaman tersebut pada 28 Julai 2015.

Li Koon yang merupakan bekas pemilik banglo itu pula, didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan lot tanah dan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan pada tarikh yang sama.-UTUSAN ONLINE