Seri Paduka bertitah, langkah itu perlu dilaksanakan kerana ancaman bentuk baharu mula dirasakan dengan berlakunya proses globalisasi pada alaf ini.

“Sebagai seorang pegawai tentera yang berijazah, beta berharap saudara-saudari sekalian akan lebih berkemampuan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan dengan penuh yakin serta semangat jati diri yang tinggi.

“Usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan ilmu ketenteraan harus diteruskan untuk membolehkan saudara-saudari sensitif dengan perkembangan teknologi semasa,” titah Seri Paduka ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan ATM 2017 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Sebanyak 339 pegawai kadet dan pegawai graduan yang terdiri daripada 194 pegawai kadet Tentera Darat, 48 pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 97 pegawai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya menamatkan latihan.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ; Panglima Tentera Darat, Je­neral Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Sultan Muhammad V bertitah, pegawai muda ATM juga seharusnya menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang berkredibiliti dan disegani dengan berbekalkan ilmu yang mereka peroleh.

“Seperti mana yang kita ketahui, profesion ketenteraan me­rupakan satu kerjaya yang unik.

“Ia menekankan dua elemen penting iaitu kemahiran ketenteraan dan juga kepakaran profesional dalam pelbagai bidang seperti kejurute­raan, sains dan pengurusan strategik,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah, gabungan kedua-dua elemen itu akan memberi kesan kepada usaha mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara.