Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan Tengku Mansor

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pegawai kanan yang lain akan memangku tugas pegawai berkenaan buat sementara waktu.

Menurutnya, pihak kementerian akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan tersebut dan dalam masa yang sama akan meneliti semula pengisytiharan harta pegawai-pegawai di semua jabatan di bawah kementerian itu bagi membendung gejala rasuah.

“Pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan turut dinasihatkan untuk membuat semakan harta terkini para pegawainya,” katanya.

Beliau berkata de­mikian ketika diminta mengulas penahanan seorang pegawai tinggi DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ pada Selasa lalu untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah ketika ditemui dalam Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut Tengku Adnan, kementerian itu melalui Ketua Setiausahanya bersama Unit Integriti daripada setiap jabatan akan melibatkan diri dalam semakan harta tersebut.