Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, langkah itu bagi memperkasakan peranan Jakim dan menaik taraf kedudukan mufti setinggi yang mungkin.

Jelas beliau, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem Persekutuan maka perlu ada sebuah jabatan yang kuat bagi memastikan konsep Islam sebagai agama Persekutuan diamalkan dengan sepenuhnya.

“Cadangan kerajaan ingin mengkaji semula kedudukan Jakim diharap dapat memperkasakan jabatan tersebut dan meletakkan golongan mufti di kedudukan yang tinggi dalam semua bidang utama negara.

“Sebarang langkah penutupan atau pengecilan saiz agensi-agensi ini amatlah merugikan selain bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat semula peranan Jakim dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam bagi membincangkan masa depan jabatan tersebut.

Kata beliau, langkah itu dibuat bagi melihat semula perana Jakim sama ada perlu dikekalkan atau dikembalikan kepada tujuan asal penubuhan. - UTUSAN ONLINE.