Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa di Hatyai, Thailand bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai dakwaan aktivis sosial itu tetapi mereka menafikan ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Ujar Khalid, berikutan itu, pihaknya kini sedang menyemak dengan polis Pattaya pula mengenai dakwaan culik tersebut.

“Kita perlu menyemak semua fakta yang ada. Biarlah kami siasat dahulu perkara ini sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2016 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 10,127 anggota dan pegawai telah menerima anugerah ini di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai tiga lagi individu yang dilaporkan masih hilang, Khalid memberitahu, kes tersebut masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Setakat ini, tiada bukti-bukti bahawa mereka ini telah diculik dan siasatan lanjut dibuat sebagai individu yang hilang,” jelasnya.

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Peter Chong yang tular di laman sosial selepas didakwa diculik pada 6 April lalu ditemukan selamat selepas tiba di tanah air dari Thailand pada Ahad lalu.

Pada 12 April lalu, Khalid memberitahu, pihak polis mempunyai bukti bahawa Peter menyeberangi sempadan Thailand selepas dikesan menaiki bas di Pusat Pemeriksaan Kompleks Imigresen di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6.30 pagi, 7 April lalu.

Peter mula tular di laman sosial apabila dilaporkan hilang oleh keluarganya dan didakwa diculik tidak lama selepas dia memuat naik status di laman Facebook berhubung pertemuan pelik dengan seorang lelaki pada 31 Mac lalu.

Selain Peter, tiga lagi individu yang diklasifikasikan sebagai orang hilang adalah paderi, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 6 Mac lalu, serta Amri Che Mat di Padang Besar, Perlis pada 24 November 2016. - UTUSAN ONLINE