Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, dakwaan terbabit bersifat tuduhan melulu dan tidak benar sama sekali.

Katanya, siasatan berhubung kejadian itu perlu dilakukan mengikut prosedur malah tindakan yang diambil juga perlu mengikut lunas undang-undang di negara ini.

“Setiap laporan yang dibuat kita harus teliti sama ada benar atau tidak kesalahan yang dilaporkan. Kemudian, kita perlu kenal pasti saksi-saksi yang terlibat untuk merakamkan percakapan sebelum keterangan diambil bagi membantu siasatan.

“Kita tidak boleh jadi seperti samseng untuk pergi jalankan serbuan ke tempat berkenaan tanpa sebab. Semuanya perlu mematuhi undang-undang di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ditanya mengapa tiada tindakan diambil terhadap Datuk Kabi meskipun lebih 1,000 laporan telah dibuat, Khalid memberitahu, pihaknya telah mengumpul kesemua laporan terbabit untuk tindakan selanjutnya.