Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah drastik itu perlu kerana beliau tidak mahu imej PDRM terus tercemar di­sebabkan ‘titit-titik nila’ sehingga menidakkan pencapaian pasukan tersebut.

Pada masa sama tegasnya, langkah pembersihan juga akan dilakukan ke atas semua agensi di bawah KDN bagi memastikan insiden ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ tidak berulang pada masa hadapan.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kita tidak harus malu, jika ada dalam kalangan orang dalaman agensi penguat kuasa terlibat, tidak akan ada perlin­dungan daripada kami. Ini sesuatu yang saya akan pastikan.

“Bukan hanya dalam PDRM (tindakan pembersihan) tetapi agensi lain juga, kami lakukan tindakan dalaman dan soal pembersihan ini harus dilakukan setiap waktu bukan bermusim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berucap dan beramah mesra de­ngan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Program Universiti Bersama TPM di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan wang tunai RM800,000 di rumah seorang polis berpangkat koperal di Me­laka dan sebelum itu pada Selasa, dua ketua polis daerah ditahan atas kesalahan rasuah.

Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman juga terpaksa dirombak selepas 16 anggota dan pegawai kanannya ditangkap kerana dipercayai melin­dungi sindiket pengedaran dadah.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, pihaknya melalui risikan dalaman kini berjaya menghidu ‘pegar’ yang bertindak memberikan maklumat, bersekongkol, bekerjasama dan memperolehi pendapatan luar biasa.

“Tiada alasan (penerima rasuah). Itu sebabnya saya selalu menekankan walapun kadar indeks jenayah menurun, tetapi persepsi rakyat tidak meningkat disebabkan masalah begini. Inilah yang merosakkan susu sebelanga,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan kononnya pihak berkuasa Turki ikut serta dalam tangkapan ke atas tiga warga negara itu baru-baru ini.

Kata Ahmad Zahid, laporan itu dibuat dengan merujuk kepada sumber yang salah kerana tangkapan dibuat sendiri pihak berkuasa Malaysia selepas pemantauan dibuat selain memperoleh maklumat daripada pihak perisikan antarabangsa.

“Kita dapati ketiga-tiganya ialah anggota sebuah pertubuhan yang diharamkan di Turki dan mahu menggunakan Malaysia sebagai tempat untuk melancarkan gerakan baharu di luar Turki,” katanya.