Pengarah Jabatan In­te­griti dan Pe­matuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihak­nya mempunyai kaedah tersendiri bagi mengesan sama ada pegawai atau anggotanya melakukan salah laku selain memastikan setiap aduan yang dibuat adalah benar, bukannya palsu.

ZAMRI YAHYA
ZAMRI YAHYA 

“Kita akan siasat dan ambil keterangan pengadu kalau ada laporan berkaitan salah laku. Selain penguat kuasa, pengadu juga akan diselidik dan tindakan akan dikenakan ke atas pelaku jika terdapat bukti kesalahan.

“Ini kerana kita mempunyai cara tersendiri untuk memastikan perkara tersebut berlaku atau tidak di samping melakukan siasatan rapi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan, segelintir anggota penguat kuasa didakwa terlibat dalam kegiatan pemerasan dan menjadikan pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan amaran bahawa tindakan tatatertib serta ditukarkan akan dikenakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kegiatan salah laku.

Berdasarkan rekod, seramai 926 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.