Lim Swee Tin

Sasterawan dan pejuang bahasa kebangsaan, Dr. Lim Swee Tin berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana lambakan papan tanda yang mengetepikan bahasa Melayu menunjukkan manifestasi kekerdilan jiwa bangsa rakyat Malaysia dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.

“Tindakan segera secara drastik hendaklah diambil demi mengekang gejala yang tidak sihat ini. Ia sudah terlepas daripada sempadan yang dapat di­terima logik akal.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat tidak konsisten dan tidak tegas dalam memastikan kesalahan ini dapat dibendung. Jadi sudah tiba masanya kita memberi perhatian terhadap perkara ini bagi memastikan identiti negara dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Swee Tin, banyak perbuatan mempersenda serta memperlekehkan undang-undang negara khususnya Akta Bahasa Kebangsaan dilakukan oleh pendatang asing secara terbuka sejak kebelakangan ini seperti mempamerkan bahasa negara mereka pada papan tanda perniagaan secara terbuka.

Alimuddin Mohd. Dom
Alimuddin Mohd. Dom

Katanya, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan kebiadapan itu tidak berjangkit ataupun terus menular ke seluruh negara sehingga bahasa kebangsaan terus dibiarkan tanpa pembelaan.

Dalam nada yang sama, Pengerusi Yaya­san Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan kesalahan penggunaan bahasa di papan tanda dapat dibendung.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung membantu pihak ber­kenaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang melakukan kesalahan tersebut.

“Jika dilihat di peringkat asas, kita memerlukan penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh bagi memastikan kesalahan-kesalahan papan tanda ini tidak berulang,” katanya.