Perdana Menteri berkata, sekiranya amalan itu tidak dibendung, ia akan berkembang hingga seluruh pentadbiran terlibat dalam gejala rasuah sekali gus menyebabkan pembangunan negara tidak dapat dilakukan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Beliau berkata, anggota dan pegawai PBT perlu ingat bahawa kuasa yang diberikan kepada mereka bukan untuk kegunaan sendiri sebaliknya ia bagi menjayakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Kalau kita salah guna kuasa, sudah tentu masyarakat akan menerima beban yang amat berat. Segala kos akan meningkat kerana tiap perkara yang hendak dilakukan memerlukan belanja lebih untuk menyuap mulut yang terbuka-buka kerana mereka ingin dapat sesuatu bagi diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvesyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Konvesyen bertemakan ‘Bandar Kita Milik Kita’ itu julung kali dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkukuh peranan PBT selaras dengan hala tuju kerajaan, selain memberikan peluang kepada ahli majlis untuk bertukar pandangan serta menyumbang idea ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya anggota dan pegawai PBT sayangkan negara, maka mereka jangan sekali-kali terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.

“Kuasa ada, kalau disalahguna kawasan (di bawah pentadbiran PBT) akan ketinggalan dan tidak dibangunkan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan PBT supaya sentiasa meningkatkan kecekapan di dalam pentadbiran mereka yang turut menjadi elemen penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Jelas beliau, setiap sistem yang diwujudkan bukan bertujuan untuk menghalang pembangunan sebaliknya bagi memastikan ia dpt dilaksanakan dengan lebih efisien.

Beliau sehubungan itu berharap konvensyen yang diadakan dapat memberi nilai tambah kepada PBT di seluruh negara dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan mereka. - UTUSAN ONLINE