Mohd. Azmi

Presiden Majlis Pe­rundingan Pertubu­han Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid berkata, PBB tidak seharusnya tunduk dan akur dengan ke­n­ya­­­­­­­taan kerajaan Myanmar yang menghalang misi kemanusiaan sebaliknya bertindak tegas demi membela nasib kumpulan minoriti itu.

Katanya, pertubuhan antarabangsa itu juga perlu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya akses serta misi kemanusiaan dapat diberikan sekali gus membantu mangsa kekejaman tentera.

“Kita akan menghantar memorandum dan mendesak PBB me­lakukan tiga perkara iaitu me­ngadakan himpunan tergempar bagi mengecam tindakan Myan­mar manakala agensi-agensi antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) perlu konsisten menghalang jenayah kemanusiaan berlaku.

“Negara-negara lain perlu bersatu dan meluluskan keputusan Majlis Keselamatan PBB berhubung isu Rohingya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian be­ri­kutan laporan berhubung kekejaman ke atas etnik Rohingya masih berterusan sehingga mengorbankan beratus nyawa termasuk kanak-kanak selepas tentera Myan­mar bertegas mahu menghapuskan kumpulan minoriti itu.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengulangi ‘Solidariti Rohingya’ dan kelantangan pemimpin negara itu di peringkat antarabangsa sehingga mendapat sokongan negara luar seperti tahun lalu.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan Malaysia menggunakan pendekatan seperti Indonesia melakukan perundingan dengan Bangladesh bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada pelarian Rohingya berikutan lebih 73,000 etnik tersebut yang berjaya melarikan diri.

“Setakat ini sangat sulit untuk menyampaikan bantuan kecua­li perundingan dibuat dengan Bangladesh kerana ratusan ribu etnik terbabit cuba menyeberang ke sana malah kerajaan Myanmar juga menyekat PBB serta bantuan kemanusiaan memasuki negaranya,” jelas beliau.

Menurut Mohd. Azmi, pihak­nya juga sedang mempertimbangkan rancangan untuk melancarkan Food Flotilla for Myanmar 2 tetapi misi tersebut memerlukan kerjasama daripada semua pihak.