Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pe­ngelola, Abd. Wahab Ibrahim berkata, penganjuran PBAKL ini merupakan satu daripada inisiatif dirancang bagi menjayakan hasrat ibu negara sebagai Ibu Kota Buku Dunia (WBC) pada tahun 2020.

Jelasnya, Kuala Lumpur te­lah diumumkan sebagai WBC 2020 oleh Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lalu dan program ini adalah satu kempen bagi mewujudkan kesedaran masyarakat yang membaca di negara ini.

“Berdasarkan kepada kajian, sebanyak 15 judul buku telah dibaca dalam tempoh setahun oleh rakyat Malaysia dan angka ini tidak jauh daripada pembacaan oleh negara-negara maju yang warganya membaca paling kurang 16 judul buku untuk tempoh sama.

“Bertepatan dengan WBC pada tahun depan, maka pe­nganjuran pesta seperti ini diharap dapat melonjakkan kadar pembacaan di negara ini memandangkan kadar buta huruf di negara ini amat rendah berbanding dahulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bercakap mengenai PBAKL selama 10 hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam, beliau menjelaskan pihaknya menyasarkan jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 1.5 juta dan jumlah itu dijangka mampu meningkat kepada 2.6 juta.

“Angka berkenaan tidak mustahil untuk dicapai memandang­kan musim cuti sekolah dan ibu bapa di sekitar Lembah Klang mungkin mengambil peluang keemasan untuk membawa ahli keluarga mereka ke sini.

“Acara selama 10 hari ini menempatkan 700 buah gerai melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura,” jelas­nya.

Menurutnya, majlis perasmian PBAKL 2019 dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kumpulan Utusan menerusi Tintarona Publication Sdn. Bhd. turut membuka ruang pameran buku di Dewan Tun Ismail sempena PBAKL dengan menawarkan tawaran hebat kepada pe­ngunjung.