Pakar Radiologi (Pengkhususan Penyakit Kanser Payudara) Hospital Pakar KPJ Perdana, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi berkata, pelbagai stigma negatif seperti itu yang dikaitkan dengan ujian mamogram masih lagi menjadi kepercayaan sebahagian besar wanita sehingga sanggup menangguhkan pengesanan awal penyakit kanser payudara.

Sedangkan, katanya, golongan wanita terutamanya yang berumur 40 tahun ke atas perlu menjalani ujian mamogram setahun sekali.


“Alasan yang selalu orang guna adalah ia prosedur yang menyakitkan; payudara menjadi leper seperti roti canai dan kononnya ia menyebabkan kuman kanser semakin pecah dan merebak.


“Tanggapan sebegini sudah tentu tidak benar namun masih lagi dipercayai malah mamogram sebenarnya hanya menggunakan dos sinar X yang rendah.


“Prosedur ujian mamogram juga hanya mengepit payudara antara 10 saat hingga 20 saat sahaja, jika dibandingkan gigitan semut pun adalah lebih menyakitkan daripada itu,” katanya pada program ‘Seminar Kesihatan Wanita - Perkembangan Kesihatan Terkini’ anjuran Hospital Pakar KPJ Perdana di sini hari ini.


Beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengesanan Awal Kanser Payudara melalui Ujian Mamogram’ kepada hampir 100 peserta termasuk kakitangan awam dan swasta.


Turut hadir adalah Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengurusan dan Pembedahan Kanser Payudara’. UTUSAN ONLINE