Selain itu, selain keha­diran chef-chef selebriti popular tempatan seperti Datuk Fazley; chef cilik Danish Harraz; Juara Hero Oven, Chef Naem dan Dr. Ezany Monoto turut dijangka meriahkan program.

Timbalan Pengurus Besar Kanan Nafas, Dr. Hamid Sulaiman berkata, selari dengan pe­nganjuran HPPNK dan Festival Makanan Malaysia 2017 (MFF 2017), konsep program tersebut adalah mempromosikan produk makanan berasaskan jenama Peladang iaitu hasil resipi dan sentuhan chef jemputan selain pameran produk-produk keluaran Nafas.

“Nafas telah menyusun pelbagai program dan aktiviti menarik lain bagi memastikan sambutan kali ini memenuhi kehendak golongan sasar dalam mencapai matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta jabatan dan agensi untuk menjadi tumpuan peminat dunia kulinari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, pihaknya juga akan meneruskan pe­nganjuran perkhemahan belia, Nafas Agro Youth Camp 2.0 sebagai kesinambungan kepada penganjuran sulung program tersebut sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) tahun lalu.

“Penganjuran Nafas Agro Youth Camp 1.0 pada tahun lalu mendapat sambutan yang luar biasa dengan lebih 5,000 peserta menyertai kem selama sembilan hari.

“Justeru, Nafas Agro Youth Camp 2.0 yang dianjurkan sempena HPPNK 2017 melibatkan 1,000 belia akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti agar perkhemahan selama empat hari mereka bermanfaat,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, penganjuran perkhemahan tersebut secara tidak langsung dapat mempromosikan sektor pertanian kepada golongan belia selain menyemai rasa menghargai jerih payah petani menjamin kedaulatan makanan negara.

Sementara itu, Pengerusi Nafas Agro Youth Camp 2.0, Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad berkata, berbeza dengan penganjuran terdahulu, peserta perkhemahan kali ini bakal didedahkan dengan ilmu keusahawanan melalui beberapa program peningkatan kendiri antaranya agropreneur.

“Program agropreneur memberi tumpuan kepada kaedah penjualan barangan berasaskan pertanian melalui food truck dan food cart. Objektif kita adalah mahu peserta dapat informasi dan menimba pengalaman kerana bi­dang keusahawanan baharu ini kian popular dan boleh meningkatkan sumber pendapatan mereka apabila pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mukhriz berkata, peserta juga akan diuji menerusi pertandingan Agro Chef yang diadili oleh chef berpengalaman.

“Kita mahu peserta bersiap sedia dan tahu apa yang mereka ingin pasarkan. Sebagai contoh, jika berkebolehan dalam bidang masakan maka menjadi nilai tambah dalam mempelbagaikan kebolehan pasaran untuk meningkatkan ekonomi keluarga atau syarikat masing-masing.

“Kerajaan juga telah menyediakan geran untuk usahawan muda bernilai RM100 juta. Justeru, peserta boleh teroka bidang yang mereka minat untuk dijadikan sumber pendapatan yang menguntungkan,” katanya.

Katanya lagi, acara kemuncak adalah peserta diberi penerangan tentang Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan berpeluang beramah mesra menerusi program town hall bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.