Rata-rata pengunjung yang ditemui di sini melahirkan rasa teruja dan mengakui tertarik dengan kekayaan dan keindahan alam semulajadi yang dipamerkan di ruang yang merangkumi kira-kira 727 meter persegi itu selain projek tenaga boleh diperbaharui seperti ladang solar dua fungsi untuk penjanaan elektrik dan pertanian.

Salah seorang pengunjung, Madina Sultanova, 19, dari Astana berkata, kelainan yang dibawa Pavilion Malaysia amat menarik perhatiannya lebih-lebih lagi menonjolkan keindahan alam semula jadi dan hidupan liar.

“Kunjungan saya tidak sia-sia kerana berpeluang menyaksikan hutan hujan tropika yang menakjubkan seperti beradadi hutan sebenar,” katanya ketika ditemui di Pavilion Malaysia di sini.

Sementaraitu Kosainova Sakyp, 60, turut melahirkan rasa teruja berpeluang mengunjungi Pavilion Malaysia sempena penganjuran ekspo bertaraf antarabangsa itu.

“Saya sangat seronok kerana selain berpeluang melihat khazanah hutan dan alam semula jadi, budaya dan warisan masyarakat Malaysia turut ditonjolkan,” katanya.

Majlis pembukaan Pavilion Malaysia disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada hari kedua pembukaan ekspo, Sabtu lalu dalam satu majlis sederhana tetapi penuh bermakna.

Sejak dibuka kepada pelawat sehingga hari kelima jumlah pengunjung dicatatkan kira-kira 22,056 orang.

Pavilion Malaysia yang terletak berhampiran Pavilion China dan Pavilion India itu didirikan di tapak futuristik ekspo seluas 25 hektar berhampiran Astana, bandar pentadbiran Kazakhstan.

Tema `Menjana Pertumbuhan Hijau‘ dipilih bagi mencerminkan konsep utama ekspo iaitu `Tenaga Masa Depan’ yang menonjolkan model hijau, dasar dan aplikasi bagi mencapai pembangunan mapan menjelang 2020. -UTUSAN ONLINE