Setiausahanya, Shukri Ishak berkata, perkara itu merupakan fundamental yang perlu dijaga Dr. Mahathir, jika berhasrat mahu terus mengekalkan pemerintahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak kerana jika tidak, orang Melayu dan bumiputera pastinya akan menolak pakatan tersebut.

“Dalam kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, sekarang ini semua orang memerhati apa yang berlaku 100 hari, setahun dan lima tahun ke depan.

“Saya percaya Pakatan Harapan bukan hanya nak memimpin Malaysia pada PRU-14, PRU-15 pun mereka nak dan orang Me­layu serta bumiputera adalah pengundi terbesar di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Hindraf di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa; Presiden Alumni GPMS UiTM, Muhamad Akmal Mohd. Dahalan dan Pengerusi Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (Pimpin) Melaka, Mohamad Hafiz Mohamad Yunus.

Semalam, Presiden PAUiTM, Datuk Mohd. Zaini Hassan dalam satu kenyataan berkata, 700,000 alumni universiti berkenaan membantah tuntutan Hindraf yang mendesak kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

Beliau berkata, PAUiTM sebulat suara membantah cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada kaum-kaum lain berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Me­layu dan bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya.