Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, itu bertujuan memastikan kawalan ke­selamatan ke atas mereka dapat dilaksanakan.

“Ini selari dengan langkah kerajaan Arab Saudi yang dilihat begitu bersungguh-sungguh dalam memastikan keselamatan jemaah haji ketika melontar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Rawatan Tabung Haji Syisya di sini semalam dengan diiringi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata, sebarang perlanggaran peraturan khususnya daripada segi lorong menuju ke tempat melontar boleh menyebabkan berlaku kejadian rempuhan.

“Oleh itu saya berharap jemaah haji Malaysia menjaga diri masing-masing sepanjang berada di Mina dan melontar mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, seramai lima jemaah haji Malaysia tidak dapat melaksanakan wukuf di Arafah kerana berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di hospital Arab Saudi.

“Mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan dirawat kerana masalah sistem pernafasan dan pendarahan otak,” katanya.

Berikutan keadaan itu, beliau memberi jaminan jika kesihatan mereka mengizinkan, kesemua jemaah itu akan diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.

Selain itu katanya, jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia meningkat kepada 10 orang apabila seorang lagi jemaah haji menghembus nafas terakhir di Muzdalifah semalam akibat serangan jantung.