Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Tan Huat Hock berkata minat murid adalah untuk belajar dan bukan setakat mengejar kecemerlangan peperiksaan semata-mata.

"Guru-guru juga jangan dibebankan kerana terkejar-kejar menghabiskan buku kerja sehingga mengganggu kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan dan ada kalanya kualiti buku kerja juga boleh dipertikaikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini, sebagai menyokong kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berhubung perkara itu.

Chong sebelum ini berkata kementerian berkenaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru besar mahupun guru yang gagal mematuhi pekeliling berkenaan selain menegaskan mereka tidak mempunyai hak untuk memaksa ibu bapa mahupun penjaga membeli buku kerja.

Berdasarkan pekeliling itu, murid-murid Tahap I (tahun 1, 2 dan 3) tidak dibenarkan menggunakan buku kerja kerana Buku Latihan Aktiviti (BLA) telah disediakan oleh Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan.


Bagi murid-murid Tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6) hanya satu judul buku kerja sahaja dibenarkan untuk setiap murid bagi setiap mata pelajaran KBSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.


Selain itu, guru juga tidak boleh menggunakan sepenuhnya buku kerja sewaktu mengajar di dalam kelas di sekolah.

Tan berkata NUTP akan membantu kementerian dalam memastikan pekeliling itu dipatuhi dan ibu bapa serta murid tidak dibebankan dengan pembelian buku kerja di sekolah rendah. - BERNAMA