Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua perlu mematuhi surat siaran Bilangan 10, Tahun 2017 iaitu Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2018.

“Kementerian memohon tiada pelanggaran arahan surat pekeliling berkenaan bagi membolehkan semua warga pendidik menikmati cuti Tahun Baharu Cina yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran ATM cawangan Padang Terap di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) hari ini yang memohon Kementerian Pendidikan untuk campur tangan mengenai aduan diterima kesatuan itu daripada beberapa guru dan pensyarah bahawa ketua jabatan mereka mengeluarkan arahan bertentangan dengan surat siaran tersebut.-UTUSAN ONLINE