Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kurangnya sokongan daripada agensi berkenaan me­ngakibatkan usaha memerangi PATI menjadi sulit sedangkan jika semua pihak bekerjasama segala tindakan menjadi lebih lancar.

Menurutnya, ini berikutan kerjasama semua pihak sama ada semasa atau selepas operasi akan melicinkan lagi segala proses kerana setiap agensi mempunyai had kuasa tertentu dengan Jabatan Imig­re­sen hanya berkuasa mentadbir urus soal pendatang asing sahaja.

“Contohnya, sekiranya ternampak lambakan PATI di sesebuah kawasan, soalan pertama diajukan orang awam adalah di mana imigresen? Sedangkan agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai kuasa membuat pemotongan bekalan elek­trik dan PBT pula mempunyai kuasa untuk merobohkan premis haram yang dibina.

“Kita melakukan operasi tangkapan terhadap PATI setiap hari berikutan mahu memutuskan rantaian kesalahan, tetapi tidak mampu melakukannya tanpa kerjasama semua pihak. Isu ini tidak akan selesai sekiranya pihak berkaitan tidak melakukan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Op Ikrar di tiga lokasi menempatkan rumah kongsi di kawasan perindustrian Kampung Baru Subang di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Shahril Ismail dan Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar.

Terdahulu, operasi tiga jam bermula 12.45 pagi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, sebanyak 117 individu ditahan membabitkan 94 warga Indonesia, 22 Bangladesh dan seorang Myanmar.

Dalam perkembangan berasin­gan, mengulas mengenai Enforcement Card (E-Kad), Mustafar berkata, setakat ini pihaknya telah menahan lebih 13,000 individu dalam Op Mega Jabatan Imigresen.

“Selepas tamat tempoh permohonan E-Kad sejak 30 Jun lalu, kita melihat jumlah penangkapan PATI mencatat peningkatan yang biasanya setiap tahun seramai 10,000 individu ditahan,” ujarnya.