Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Rahmat Mat Noh berkata, program anjuran bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri Perlis itu diyakini mampu mencapai sasaran tersebut berikutan sambutan luar biasa pengunjung tahun lalu.

“Berlatarbelakangkan suasana kampung, program ini memaparkan keaslian dan keindahan budaya tempatan serta menjurus kepelbagaian aktiviti cara hidup masyarakat pesawah melalui acara-acara yang disediakan manakala para pengunjung dapat menikmati keenakan masakan dan makanan tradisional tempatan.

“Ini kali kelima dianjurkan sejak 2011 dan kita menjangkakan lebih 100,000 pengunjung akan membanjiri program ini selari dengan bancian kehadiran yang dibuat tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PAT yang dinamakan sempena musim angin timur bertiup ke Perlis turut menandakan proses peralihan selepas padi dituai dan sebelum air disalurkan ke dalam petak bendang untuk musim penanaman padi seterusnya.

Program yang melibatkan penyertaan sebanyak 60 agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pada Sabtu ini.

Antara aktiviti yang akan memeriahkan program tersebut ialah sukan rakyat, pameran, gerai jualan, persembahan kebudayaan, pesta ria dan persembahan oleh artis-artis tempatan seperti Noraniza Idris.

Rahmat menambah, PAT juga memberi peluang kepada para penggiat seni tradisional dari daerah-daerah sekitar Perlis untuk membuat persembahan.