Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas itu juga akan mengesyorkan bentuk tindakan yang wajar diambil kementerian atau pihak bertanggungjawab tentang kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

“Nama-nama yang terlibat dalam pasukan ini akan kita tentukan dan kita telah mengenal pasti beberapa nama sesuai kerana laporan itu antara lain menyatakan polis terlibat jadi, pihak yang boleh membuat siasatan dan ada kuasa juga polis.

“Oleh itu, kita mahu memastikan mereka yang menganggotai selain polis atau pihak bersesuaian akan kita namakan dan diberikan satu tempoh sesuai untuk mengemukakan keputusan hasil siasatan terhadap laporan dikeluarkan Suhakam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni di sini hari ini.

Sebelum ini, Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial itu.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Sementara itu Muhyiddin menegaskan, langkah penubuhan pasukan itu adalah selaras dengan tuntutan Suhakam dan pihak kementerian memandang serius terhadap perkara itu.

“Diharap selepas perkara itu selesai dibentangkan oleh pasukan petugas khas, kita akan dapat memutuskan bagaimana perkara itu dapat laksanakan,” katanya.

Ditanya bilakah anggota-anggota pasukan itu akan dinamakan, beliau berkata, pengumuman itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

“Kita ambil masa untuk mengumumkan keputusan itu bagi mencari orang yang sesuai untuk menjadi anggotanya. Mungkin dalam enam atau tujuh orang.

“Ada nama-nama yang telah kita kenal pasti tetapi kita hendak berhubung dengan mereka supaya bersetuju. Selepas itu baru kita beri terma rujukan dan tempoh berapa lama pasukan ini akan laksanakan tugas,” katanya.

Ditanya sama ada pihak polis terlibat dalam pasukan itu, beliau menjelaskan, polis akan terlibat tetapi memandangkan tuduhan itu mengaitkan nama pasukan seperti Cawangan Khas, pihaknya tidak boleh meletakkan mereka yang berkepentingan ke dalam pasukan berkenaan.

“Sebab itu kita ambil masa untuk menamakan siapa yang dianggap sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, gesaan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin supaya Menteri, Menteri Besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela, hanya pandangan peribadi.

“Itu pandangan seorang pengamal media (Kadir Jasin), walaupun dia dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), itu kita serah kepada individu yang dia maksudkan tadi, saya tidak tahu siapa yang dia maksudkan, kalau saya, saya berhentilah, kalau orang lain itu terserah kepada mereka.

“Ini adalah bidang kuasa Perdana Menteri, kalau Perdana Menteri hendak ambil apa-apa langkah atau tindakan, itu kita serah kepada beliau,” katanya. - UTUSAN ONLINE