Mohd. Razlan Muhammad Rafii

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, pasukan berkenaan harus diberi kuasa autonomi untuk memberikan arahan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan untuk menggerakkan tindakan bersesuaian yang diputuskan melalui penyelidikan pasukan itu.

Katanya, demi merealisasikan gerak kerja itu, peruntukan dana khusus perlu diberi perhatian dalam Bajet 2018 terutama membiayai pusat pendidikan awal kanak-kanak di bandar-bandar bagi mengurangkan tekanan hi­dup kepada keluarga yang dipercayai antara punca kepada permasalahan sosial.

“Soal pendidikan awal kanak-kanak, masalah kekeluargaan dan lain-lain adalah perkara asas yang kita perlu selesaikan terutama di bandar seperti Wilayah Persekutuan. Perlu diperbanyakkan pusat jagaan awal dan tadika yang dibantu kerajaan memandang­kan kos pendidikan ini sudah mencecah hingga RM300-RM500 sebulan belum termasuk yuran tahunan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 sehingga membebankan ramai ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fathul Bari Mat Jahya
Fathul Bari Mat Jahya

Dalam pada itu Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula berkata, kerajaan perlu mewajibkan kursus keibubapaan da­lam intipati Agenda Sosial Negara kerana banyak masalah remaja bermula di rumah.

Katanya, ibu bapa perlu dilibatkan dalam pendidikan anak-anak mereka supaya lebih sensitif de­ngan persekitaran anak-anak bahkan mengambil berat soal hubung­an sosial mereka.

“Aspek psikologi generasi Y, Z dan seterusnya perlu dianalisis dengan melahirkan lebih ramai pakar kaunseling yang khusus untuk mengkaji permasa­lahan dan meramalkan cabaran gene­rasi mendatang de­ngan menggariskan persediaan dan perancang­an,” katanya.

Sheikh Nafiq Alfirdaous
Sheikh Nafiq Alfirdaous

Menyokong penda­pat itu, seorang lagi Exco Pemuda UMNO, Sheikh Na­fiq Alfirdaous berkata, kebanyakan pe­nyakit so­sial yang sedang membarah dalam ma­syarakat ketika ini majoritinya boleh di­nisbahkan kepada kelemahan institusi kekeluargaan yang bermula dari rumah.

Kata beliau, peranan keluarga sebagai ‘madrasah’ awal dalam pembentukan sahsiah anak-anak dilihat semakin terhakis dek ke­sibukan ibu bapa bekerja bagi menampung ke­perluan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar besar.

Seorang lagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Zuhri Aziz berkata, inisiatif baharu perlu dibentuk secara menyeluruh dengan menggunakan pendekatan berbeza untuk mengurangkan kesan pengaruh luar kepada anak-anak yang menjadi punca kepada permasalahan sosial.

Tengku Zuhri Aziz
Tengku Zuhri Aziz

“Kita tidak boleh biarkan Facebook, YouTube dan WhatsApp menentukan hala tuju budaya anak-anak kita. Inisiatif penggubalan dan pelaksanaan Agenda Sosial Negara perlu komprehensif, menggunakan pendekatan berbeza selain memerlukan persetujuan daripada anak muda itu sendiri bagi memastikan kejayaannya,” katanya.