Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebaik saja Saad membuat pengumuman pada hari berkenaan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah menghubungi Komander Malbatt 850-5, Kolonel Khairul Anuar Abd. Aziz untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai perkembangan tersebut.

“Sehingga hari ini, saya difahamkan bahawa tidak ada perkara-perkara membimbangkan menimpa pasukan kita atau insiden yang meragukan kita.

“Tetapi kita akan terus membuat pemantauan khusus terhadap situasi tersebut secara harian sebelum membuat apa-apa tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Deepavali peringkat Tentera Darat dan melancarkan pakej istimewa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda)di Port Dickson dekat sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Raja Mohamed Affandi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd. Zainy Mohamed Zain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner.

Malbatt 850-5 berada di Lebanon sejak 7 September lalu yang terdiri daripada 850 anggota ATM termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang kakitangan Kementerian Pertahanan.

Lebanon kini berdepan kemelut politik selepas Saad mengumumkan peletakan jawatannya semasa melawat Arab Saudi awal bulan ini.

Sejak Jumaat lalu, sebanyak empat negara Teluk iaitu Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu serta Bahrain telah menggesa rakyat mereka meninggalkan Lebanon secepat mungkin dan mengelak daripada mengunjungi republik itu. - UTUSAN ONLINE