Titah baginda, ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, rakyat perlu memastikan tidak ada pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan antara kaum yang terjalin sejak sekian lama.

“Kita harus menggunakan pi­lihan raya umum ini dengan penuh tanggungjawab, jangan benarkan mana-mana pihak memecahbelahkan perpaduan antara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Terpulanglah kepada kebijaksanaan pengundi dan fikir pihak mana yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat.

“Undi itu adalah hak rakyat untuk memastikan pilihan yang baik untuk masa depan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis ramah mesra dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ching di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta rakyat supaya menggunakan hak sebagai pengundi dengan sebaik-baiknya dengan memilih pihak yang boleh menjamin masa depan mereka.

Titah baginda, banyak pihak yang mengatakan bahawa PRU sengit namun itu bukan perkara yang perlu dibimbangkan oleh rakyat.

“Sudah menjadi kelaziman kita pilihan raya umum diadakan setiap lima tahun kerana demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara kita.

“Pilihan raya bukanlah perkara baharu, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana hari me­ngundi merupakan hak rakyat untuk memilih sesiapa yang difikirkan sesuai menjaga masa hadapan tuan-tuan dan anak cucu, gunakanlah sebaik mungkin,” titah baginda.