Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah seumpama itu juga selaras dengan usaha Malaysia bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Banyak peluang disediakan oleh kerajaan dalam mempertingkatkan daya pendidikan anak-anak muda di Malaysia. Ini merupakan kaedah untuk menajamkan daya pemikiran mereka dan seterusnya mereka dapat membantu masyarakat.

“Malaysia adalah negara membangun dan bergerak ke arah negara maju pada masa akan datang. Ini tidak akan berjaya sekiranya tiada pendidikan yang sempurna,” katanya ketika berucap melancarkan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pengambilan Pelajar Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Program tersebut bertujuan mencari dan mendaftar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi dan berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran.

Sebanyak 40 pelajar baharu ditaja oleh Kementerian Wilayah Persekutuan untuk belajar di Kolej Komuniti Jelebu.

Program kerjasama julung kali diadakan itu adalah bagi menggalakkan pelajar lepasan SPM yang masih belum mendapat tawaran di mana-mana pusat pengajian khususnya calon dari keluarga berkategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk menyambung pengajian,

Kementerian Wilayah Persekutuan akan menaja yuran pengajian dan pendaftaran bagi membantu kewangan keluarga pelajar.

Habis