Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu termasuklah aktiviti pertanian di kawasan tadahan yang boleh menjejaskan sumber air.

Beliau menjelaskan, pengurusan sumber air negara memerlukan kerjasama jitu daripada pelbagai pihak.

“Kerajaan Persekutuan pula akan menerokai sumber-sumber air alternatif, menggiatkan kempen penjimatan dan memperkenalkan struktur tafir air bagi menggalakkan penggunaan air secara berhemah.

“Pada masa sama, tanggungjawab rakyat sebagai pengguna adalah penting dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan untuk menjayakan kempen penggunaan air secara berhemah serta pengurusan permintaan bekalan air secara cekap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) di bangunan Parlimen di sini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany.

Mesyuarat berkenaan merupakan satu forum peringkat kebangsaan bagi membincangkan dan menentukan dasar, hala tuju serta pendekatan berhubung pengurusan dan pembangunan sumber air negara.