Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi bagi tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac 2017 itu adalah pencapaian hasil daripada pelbagai asas kukuh yang telah dilaksanakan.

Walaupun pertumbuhan yang dicatatkan itu mengatasi jangkaan beberapa penganalisis, Perdana Menteri mengajak semua agar tidak bersikap leka tetapi sebaliknya terus berusaha memastikan ekonomi negara terus berkembang.

“Alhamdulillah, hasil asas kukuh yang telah kita laksanakan, ekonomi negara berkembang pada kadar memberangsangkan 5.6 peratus buat suku pertama tahun ini.

“Walaupun begitu, kita tidak akan leka sebaliknya terus berusaha pastikan ekonomi negara terus berkembang maju dari masa ke masa,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Pertumbuhan ekonomi itu diumumkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim, de­ngan permintaan domestik menjadi pemacu utama yang membantu Malaysia mencatatkan kadar KDNK yang tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun.