Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Malaysia8 , Mohd. Azam Abd. Samat berkata, kesemua graduan kumpulan perintis itu berjaya menghabiskan pengajian mereka selepas mengikuti selama tujuh semester. 

Katanya, IPPM memulakan kursus berkenaan secara berperingkat mulai tahun lalu sejajar untuk menyahut seruan kerajaan Persekutuan yang mahukan seluruh tenaga pengajar prasekolah memiliki kelulusan diploma menjelang 2020 di samping bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kira-kira 8,000 guru Pasti di seluruh negara. 

“Konvokesyen kali ini merupakan yang terakhir bagi peringkat Sijil Perguruan Pasti dan yang pertama bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. 

“Selaras perkembangan ini, kita menyasarkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 8,000 guru Pasti mempunyai kelayakan diploma menjelang 2023,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Kali Ke-10 IPPM di salah sebuah hotel di sini malam tadi. 

Seramai 868 graduan IPPM menerima sijil dan diploma masing-masing dala. majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari.

Terdahulu Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan sijil kepada 342 graduan Kursus Sijil Perguruan Pasti pada sidang pertama.

Dalam majlis itu, tiga graduan menerima Anugerah Dekan yang terdiri daripada Salmiza Mohd. Azmi, Nur Azma Nazlan dan Wan Nur Khairunnisaa’ Wan Abdul Aziz.- UTUSAN ONLINE