Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia terus menarik minat pelabur dalam dan luar negara dengan jumlah aliran masuk bersih pasaran ekuiti sebanyak RM11 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM3 bilion aliran keluar bagi keseluruhan 2016.

Katanya, negara juga menjadi lokasi utama kepada syarikat tersenarai di ASEAN dan Bursa Malaysia juga telah mencatatkan dana sebanyak AS$29 bilion (RM124.2 bilion) yang diperoleh dalam lima tahun lepas, dana tertinggi dalam kalangan 10 anggota perkumpulan itu.

“Angka lain yang menyokong keyakinan di Malaysia termasuk perdagangan pada suku pertama meningkat sebanyak 24.3 peratus kepada RM430.5 bilion berban­ding tempoh sama tahun lepas, dengan eksport melebihi paras RM80 bilion untuk kali pertama pada Mac. Angka RM82.63 bilion itu adalah angka bulanan ter­tinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan.

“Di samping itu, mata wang ringgit juga digambarkan oleh Bloomberg baru-baru ini sebagai mata wang Asia utama yang terkuat bagi suku ini, naik dua kali seperti mata wang terbaik sete­rusnya iaitu yuan China.

Semua ini dapat disimpulkan bahawa ekonomi kita terus maju dan lebih kuat dari sebelum­nya hasil daripada pembaharuan dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam ucaptama Invest Malaysia Kuala Lumpur (IMKL) 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Ke­tua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Selain itu ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsyam Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh; Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr. Hafsah Hashim.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarkan Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), pasaran baharu di Bursa Malaysia bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Najib berkata, pasaran tersebut menawarkan saluran alternatif kepada PKS untuk meraih dana bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.
Katanya, perkembangan tersebut adalah sejajar dengan Pelan Induk PKS yang menyasarkan peningkatan sumbangan sektor itu dalam KDNK, jumlah pekerja mereka dan jumlah eksport.

“Seperti yang diketahui, PKS meliputi 97 peratus perniagaan di Malaysia dan satu daripada penekanan dalam pentadbiran saya adalah menyokong dan menggalakkan sektor ini menjadi tulang belakang kepada ekonomi,” ujarnya.

Pada pelancaran tersebut, beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia dan empat rakan strategik bagi Pasaran LEAP iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), SME Corporation (SME Corp) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Sehingga kini, terdapat 11 PKS yang sudah berhubung dengan firma penasihat bagi membantu mereka dalam proses penyenarai­an di Pasaran LEAP.