Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia secara tidak langsung membolehkan pasaran raja buah itu mampu bersaing dengan buah-buahan tempatan yang sudah berjaya dieks­port ke negara itu sebelum ini.

Jelasnya, setakat ini negara tersebut hanya menerima pasaran eksport musang king sejuk beku sahaja.

“Buat permulaan sampel musang king akan diperkenalkan pada Festival Durian Malaysia di Nanning yang bermula hari ini hingga Ahad. Dalam masa terdekat saya yakin dengan langkah ini, ia dapat mempromosikan Malaysia melalui durian.

“Paling penting, festival ini dapat mengumpulkan para pengusaha durian di Malaysia sekali gus menjadi platform mereka mencari tempat perniagaan dan tempahan di China. Bagi kita, ini juga peluang untuk memasuki pasaran besar dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi Forum Pelaburan, Perdagangan dan Pertanian di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Parti Komunis China Jawatankuasa Bandar Qinzhou, Wang Gebing bagi membincangkan hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan China.

Ahmad Shabery berkata, pertemuan tersebut merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan beliau percaya melalui industri pertanian dapat mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara melalui kerjasama yang terhasil.

“Contohnya semalam saya turut bertemu dengan beberapa pemimpin tertinggi Wilayah Guangxi untuk membincangkan isu sama. Di samping itu, Malaysia juga berbangga kerana lazimnya, kementerian sesebuah negara hanya dibenarkan bertemu pemimpin setempat, tetapi kita dapat bertemu dengan pemimpin ter­tinggi bandar Qinzhou,” katanya.

Tambahnya, dalam kedua-dua pertemuan itu turut dibincangkan mengenai pasaran eksport tiram, sarang burung walet dan beberapa produk pertanian dari Malaysia.

“Ini sesuatu yang baik kerana semua produk untuk kebaikan bersama dan Ginzhou juga mempunyai produk mereka untuk dikongsi bersama. Di situ juga mempunyai Taman Industri Malaysia-China Qinzhou (QIP) sama seperti di Kuantan, Pahang yang boleh diperkemaskan lagi fungsinya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai festival tersebut, beliau berkata, objektif utama adalah rakyat China dapat mengenali durian seperti musang king yang popular di Malaysia.

“Di Malaysia, ia merupakan makanan kegemaran kita jadi kita tidak salah berkongsi kegembiraan yang sama dengan mereka. Kebanyakan rakyat China sudah mengenali musang king dan menganggap durian kita adalah yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Wang berkata, walaupun Thailand turut mengeksport durian ke negara ini namun beliau mengakui durian Malaysia adalah yang terbaik di dunia.

Untuk rekod, sehingga Julai lalu, nilai perdagangan kedua-dua negara berjumlah RM4.66 bilion yang terdiri daripada eksport Malaysia berjumlah RM1.18 bilion manakala import dari China berjumlah RM3.48 bilion.

Malaysia mengeksport makanan yang diproses, bijirin, makanan laut, kopi, teh, koko dan rempah, manakala Malaysia mengimport dari China pula, seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan yang diproses. – UTUSAN