Menterinya, Datuk Hamzah Zainudin berkata, produk yang dihasilkan oleh usahawan wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai barangan berkelas tinggi dan eksport negara.

“Sebelum ditempatkan di pusat beli-belah, produk-produk yang dihasilkan akan dinilai berdasarkan kriteria tertentu bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.

“Saya lihat usahawan wanita kini lebih maju ke hadapan menerusi pelbagai produk yang dihasilkan, malah ada yang setaraf dengan barangan berjenama antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kreatif Wanita anjuran Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Naib Ketuanya, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Sementara itu, ditanya mengenai peranan KPDNKK dalam menetapkan harga barangan dan perkhidmatan ekoran kenaikan kos sara hidup rakyat, Hamzah berkata, keadaan itu tidak dapat dielak ekoran negara dalam fasa menuju status negara maju.

Jelasnya, bagi mencapai sasaran tersebut, negara perlu mempunyai infrastruktur yang baik untuk kemudahan rakyat, selain mengelakkan negara ketinggalan dalam pelbagai aspek.

“KPDNKK sedar akan masalah yang ditanggung rakyat ketika ini, lebih-lebih lagi melibatkan kos sara hidup yang meningkat. Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan penetapan harga atau tarif perkhidmatan dalam tempoh terdekat.

“Kementerian akan memutuskan sama ada penetapan harga baharu yang dituntut oleh syarikat atau golongan peniaga itu sesuai dengan keadaan pasaran dan situasi kos sara hidup rakyat,” ujarnya.