Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamad Zamri Mohammed berkata, keadaan itu amat ketara berikutan deretan kotak serta polisterina memenuhi sepanjang jalan masuk dan keluar dari pasar borong berkenaan.

MOHAMAD ZAMRI MOHAMMED
MOHAMAD ZAMRI MOHAMMED 

“Mereka semakin berani sampai berniaga di luar premis pasar borong semata-mata mahu mencari keuntu­ngan lebih, walhal perkara itu melanggari peraturan pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan peruntukkan undang-undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mana-mana peniaga yang melonggokkan barang-barang perniagaan di bahu jalan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan itu boleh dikenakan kompaun RM2,000 di bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, Mohamad Zamri memaklumkan, meskipun pihak berkuasa tidak pernah melepas tangan dalam isu membanteras peniaga asing di pasar-pasar borong berkenaan namun disebabkan kelicikan dan kebolehan menghidu kehadiran penguat kuasa, warga asing berkenaan mampu terlepas malah keada­an bertambah buruk.

“Tidak dinafikan mereka ini dilindungi, saya juga syak wujud ‘mata dan telinga’ yang menyampaikan maklumat secara terus kepada peniaga asing berkenaan. Sebab itu setiap kali serbuan, usaha pihak berkuasa untuk menahan mereka ini pasti gagal.

“Lebih pelik, peniaga asing ini akan `ghaib’ sekelip mata sebelum pihak penguat kuasa tiba di pasar borong dan akan kembali melakukan urus niaga seperti biasa setelah keadaan kembali reda,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, peniaga asing terbabit didapati bergilir-gilir berniaga di bahu jalan dalam tempoh 24 jam dengan menjual barangan ‘buangan’ atau yang sudah tidak segar kepada pelanggan.

“Lebih menjengkelkan, mereka menggredkan barangan berdasarkan keadaan fizikal (luaran) semata-mata pada hal isi atau daging di dalamnya sudah rosak dan tidak boleh dimakan.

“Ini berkemungkinan juga taktik peniaga asing mencari keuntungan dengan menjual barangan tidak berkualiti pada harga lebih rendah di luar pasar agar mereka dapat menampung kadar sewa tapak yang tinggi dalam pasar,” katanya.