Bagi Muhd. Yusmanizam Yusri, 24, bukan pakej perkahwinan yang ditawarkan menarik perhatiannya, sebaliknya keunikan majlis itu menambat hatinya dan pasangan, Zul-Haneda Mohd. Zainuddin, 22, untuk menyimpulkan ikatan hidup bersama pada majlis itu.

Mereka antara 21 pasangan yang dinikahkan serentak sempena majlis Perkahwinan Beramai-ramai anjuran JR Empire dan Ujies Collection oleh jurunikah daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diketuai Kadi daerah, Abdul Zaki Mohd. Zain.

Muhd. Yusmanizam berkata, sejak perkenalan dengan pasangannya seorang guru tadika dua tahun lepas, dia memasang impian untuk melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai.

“Pada mulanya saya fikir bukan mudah untuk turut serta, namun pada November lalu ketika membeli-belah di sebuah pasar raya, saya ternampak promosi mengenainya.

“Saya segera mendaftar dengan pakej bernilai RM2,500. Dalam keadaan peningkatan kos sara hidup, saya cukup teruja dapat melangsungkan pernikahan dalam suasana cukup meriah,” katanya di sini.

Bagi pasangannya, Zul-Haneda, pakej yang ditawarkan sangat berbaloi kerana selepas pernikahan setiap pasangan diarak ke majlis persandingan dengan diiringi 24 buah motosikal berkuasa tinggi dan 21 buah kereta mewah BMW.

Sementara itu, Penyelaras Program, Jihan Mohd. Burhanudin berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk memudahkan pasangan pengantin merealisasikan impian dengan mengadakan majlis yang gilang-gemilang.

“Setiap pasangan pasti mengimpikan majlis yang glamour dengan bajet terhad. Melalui program ini, dengan RM2,500 setiap pasangan ditawarkan pakej lengkap sebuah perkahwinan.

“Kami uruskan majlis pernikahan dan seterusnya majlis persandingan di sebuah dewan di Royal Pahang Golf Club di sini,” katanya.

Jihan berkata, pihak penganjur turut menyediakan katering untuk 100 orang bagi setiap pasa­ngan, kad jemputan, kek, aksesori, busana pengantin dan tatarias.