Namun Ismail Mod Dom dan isterinya, Rosni Ismail yang kedua-duanya berusia 65 tahun tetap ceria.

Di wajah mereka sentiasa menampakkan ketenangan biarpun kaki kanan Rosni terpaksa dipotong kerana penyakit kencing manis tiga tahun lalu.

Hasil wang yang dikumpul sejak 10 tahun lalu dan dibantu dengan keprihatinan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meluluskan rayu­an mereka, Ismail dan Rosni kini merupakan antara 22,320 orang jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah tersebut.

Menurut Ismail yang bertugas sebagai Siak di Masjid Makbul Teluk Kumbar Pulau Pinang, dia dan isterinya berasa bertuah ke­rana dipilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

“Kami mengumpul wang sejak 10 tahun lalu dan sentiasa berdoa agar hasrat kami untuk menunai haji tercapai. Alhamdulilah Allah makbulkan doa kami,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, semalam.

Ismail menjawab soal wartawan dengan menulis di atas kertas dengan bantuan petugas Tabung Haji, Ab. Manas Moha­mad Yusoff.

Oleh kerana kekurangan yang dihadapi apatah lagi dengan keadaan Rosni, kedua-dua mereka setakat ini hanya sekali sahaja dapat menunaikan umrah.

Bagaimanapun mereka tetap tekun beribadah kepada Allah. Ismail menunaikan solat di masjid berdekatan hotel peginapan mereka manakala Rosni di dalam bilik.

“Alhamdulillah, sepanjang di sini ramai yang membantu kami memandangkan Rosni berkerusi roda,” katanya.
Ismail dan Rosni mempunyai lima anak berusia antara 23 dan 40 tahun.

“Setiap hari saya berhubung dengan anak-anak melalui aplikasi WhatsApp. Saya menghantar mesej dan gambar kepada mereka,” katanya yang merupakan datuk kepada lapan orang cucu.

Sementara itu Ab. Manas berkata, dia gembira diberi tanggungjawab oleh Tabung Haji untuk menjaga hal ehwal pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) tersebut.

“Saya tidak menghadapi ma­salah dalam menjaga kedua-dua mereka. Setiap masa saya berhubung dengan Ismail untuk mengetahui apa yang diperlukan,” katanya yang bertugas di Pejabat Tabung Haji Kuala Krai.