Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau mengalu-alukan persidangan itu dan sememangnya mahu Najib berbuat demikian bagi menyampaikan mesej serta memutuskan langkah yang lebih berkesan.

“Isu Baitulmuqaddis merupakan isu agama, isu umat dan isu kemanusiaan. Saya memang mahu supaya Perdana Menteri pergi sendiri dan sampaikan mesej negara kita di sana.

“Saya mengharapkan supaya Malaysia bersama negara Islam lain dapat mengambil satu resolusi yang proaktif dan tidak sekadar resolusi protes tetapi satu tindakan yang berkesan kerana Yahudi bukan kuat, mereka mempengaruhi politik negara Barat khususnya Amerika,” katanya di sini hari ini.

Najib, menerusi catatan di laman blog www.najibrazak.com kelmarin menjelaskan akan membawa suara umat Islam di seluruh Malaysia ke persidangan khas OIC, sekali gus menentang habis-habisan keputusan AS itu.

Perdana Menteri dihubungi dan diminta oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk menghadiri persidangan khas itu kerana suara Malaysia dilihat cukup penting dalam isu ber­kenaan.

Abdul Hadi turut menyambut baik penegasan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini berhubung kesediaan Malaysia melibatkan ketenteraan bagi menyelesaikan isu Baitulmuqaddis.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi memberitahu, Pas akan terus bersama-sama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO dalam soal Baitulmuqaddis dan memperjuangkan nasib umat Islam walaupun di pentas berbeza.

“Walaupun pentasnya berlainan tetapi tujuannya sama, itu lebih penting. Yang dapat menyatukan bukan sahaja Pas dan UMNO, bahkan termasuk dalam kalangan bukan Islam yang peka terhadap isu ini,” katanya.