ABDUL HADI AWANG

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas melihat isu itu mempunyai implikasi yang tersendiri apabila wujudnya cubaan campur tangan dari pihak Korea Utara menerusi perwakilan mereka di negara ini.

“Perkara ini boleh memburukkan lagi suasana hubungan diplomatik yang ada pada waktu ini, sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa dalam dan luar negara.

“Malah Pas juga senada bahawa siasatan kes jenayah berkenaan semestinya dilaksanakan dengan merujuk kepada undang-undang dan ta­tacara yang ada dalam negara di mana kes pembunuhan itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Abdul Hadi, Pas juga secara konsisten memperjuangkan kedaulatan Malaysia daripada sebarang pencerobohan dan gangguan mana-mana pihak.

“Isu geopolitik dan percaturan dalaman negara yang dikatakan terlibat adalah tidak wajar menjadi alasan mana-mana pihak dari Korea Utara untuk mengganggu siasatan yang sedang dijalankan secara bebas dan profesional oleh pihak polis,” katanya.