Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Pas sekali lagi mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya tidak meratifikasi ICERD dan ICCPR kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

“Ekoran penegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat semalam, seluruh pimpinan dan ahli bersedia untuk memobilisasi rakyat membantah usaha ke arah meratifikasi konvensyen ini.

“Pas menyeru seluruh pimpinan dan ahli malah seluruh rakyat prihatin di negara ini agar bangkit melakukan bantahan terhadap usaha mengiktiraf ICERD selama mana tidak bercanggah dengan lunas undang-undang dan syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Nasrudin, tiada keperluan untuk ICERD dan ICCPR diratifikasi di negara ini kerana semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat layanan adil di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, ICERD dan ICCPR adalah senjata yang digunakan untuk menjayakan kepentingan politik segelintir pihak yang tidak senang dengan status quo di Malaysia.,” katanya. - UTUSAN ONLINE