Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan yang dilakukan oleh pengguna Facebook berkenaan yang bernama Foo Sing Wai menguji kesabaran umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia.

Menurutnya, tindakan itu dibimbangi akan mencetuskan suasana yang tidak baik kepada negara dan boleh mengundang rusuhan agama.

Katanya, sebagai sebuah negara yang berbilang agama dan bangsa, sepatutnya isu-isu sensitif hendaklah dielakkan demi menjaga keamanan dan keharmonian antara kaum yang dinikmati selama ini.

"Sehubungan itu, Pas Perak menggesa pihak berwajib iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun ini.

"Tindakan juga perlu dilakukan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan ketegangan agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razman, Pas negeri juga menggesa semua pihak yang cintakan Islam agar membuat laporan polis di daerah masing-masing.

Kata beliau, ini bagi mendesak pihak berkuasa bertindak ke atas pemilik akaun berkenaan.

"PAS Perak akan terus membuat bantahan dan kecaman sekiranya isu ini tidak ditangani dengan sebaiknya. Kami juga akan terus mempertahankan kemuliaan dan keagungan baginda Rasulullah SAW," katanya. - UTUSAN ONLINE