Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia yang berbangga dengan usaha menerajui sistem perbankan Islam, hub halal dan sebagainya kini mampu menerajui perubahan kepada sistem perundangan Islam sebagai model keharmonian dan kejayaan negara.

“Kita perlu mengetepikan rasa curiga yang tidak berasas dan melihat kepada fakta dan pandangan ilmiah.

“Islam ialah agama yang menjunjung ke­amanan. Sekali lagi, Pas merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Fairuz di atas pandangan bernas beliau,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Fairuz berkata, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bukan hukum hudud kerana rang undang-undang itu bertujuan untuk memperluaskan skop hukuman bagi kesalahan syariah sahaja.

Beliau berkata, disebabkan itu, beliau sukar untuk memahami mengapa orang bukan Islam menentang RUU355 sedangkan tiada alasan kukuh untuk mereka berbuat demikian.

Menurut Tuan Ibrahim, kini sampai masa untuk para cendekiawan dari pelbagai bidang dan agama untuk berbincang meneliti sistem Islam sebagai penyelesaian kepada kemelut yang berlaku di negara ini.

“Kita perlu duduk bersama mencari jalan dengan penuh jiwa besar meneliti sistem Islam sama ada dalam ekonomi, politik, perundangan dan lain-lain,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, secara realitinya undang-undang adalah bertujuan menyelesaikan pertikaian dan mencegah kesalahan dam jenayah.

“Di saat kegagalan sistem ciptaan manusia bagi membina masyarakat yang sejahtera, apakah kita tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada sistem yang diturunkan oleh Allah untuk kebaikan manusia dilaksanakan?,”katanya.