Setiausaha Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum), Dr. Mazlina Mohamad Hussain berkata, secara keseluruhan kebolehan peserta untuk berbahas dan bergaul serta untuk memberi idea pada tahap yang sangat baik.


“Kebanyakan mereka adalah ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Karekter kepimpinan, keupayaan untuk berfikir, menganalisis, berhujah serta bertanya soalan itu sudah ada.


“Cuma sedikit kekurangan dari segi kematangan. Orang muda ini kadang-kala sedikit emosi menilai sesuatu isu. Mereka tidak melihat secara keseluruhan tetapi hanya dari segi perspektif seorang pelajar,” kata Dr. Mazlina.


Beliau yang juga Pengarah Pusat Debat dan Oratory Dunia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merupakan antara tiga hakim kelas tertinggi Madum yang akan mengadili sesi perbahasan Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Julai di Dewan Rakyat.


Menurut Dr. Mazlina ini kali pertama hakim yang sama akan berada sepanjang persidangan untuk mengadili sesi perbahasan.


“Sebelum ini kita guna beberapa penilai yang silih berganti sewaktu persidangan. Mereka tidak dapat gambaran keseluruhan persidangan.


“Kali ini kita guna penilai yang sama sepanjang masa. Mereka lebih mengenali peserta. Jadi melalui pemerhatian selama dua hari hakim boleh menilai peserta yang terbaik,” kata Dr. Mazlina.


Seramai 40 pelajar daripada 204 peserta terpilih untuk membentangkan usul pada sesi perbahasan.


Pelajar tersebut dipilih berdasarkan lima kreteria penilaian semasa sesi bengkel dan simulasi berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.


Antara yang dinilai termasuk komitmen para peserta, kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, pembentangan usul dan soalan yang dikemukakan serta interaktif sosial.


Sementara pembahas terbaik pula dipilih berdasarkan empat kriteria.


“Semasa persidangan nanti kita akan melihat empat sudut. Isi kandungan kepada usul yang dibahaskan, gaya dan teknik perbahasan dan pembentangan.


“Turut dinilai dari sudut celahan dan menjawab celahan. Sebab ini adalah segmen Parlimen jadi kita akan melihat keupayaan untuk menjawab celahan dari ahli dewan yang lain. Etika berucap dalam Parlimen juga akan dinilai,” kata Dr. Mazlina.


Pembahas terbaik berpeluang menjejaki universiti ulung dunia Oxford di bawah tajaan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).


Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Mubarak dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.-UTUSAN ONLINE