Parit yang didapati tercemar itu termasuklah Parit D3 (Parit Paya Mahang B), Parit A3 (Parit Siam), Parit E2 (Parit Kampung Baru B) yang didakwa berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Ini kerana, ada yang mendakwa, terdapat beberapa premis perniagaan dan perindustrian di kawasan berkenaan membuang najis haiwan ternakan dan menjadikan parit itu sebagai tempat pembuangan sampah.

Justeru itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. M. Mohamed Idris berkata, Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) negeri ini perlu menjalankan pemantauan dan langkah pemulihan terhadap parit tersebut dan beberapa kawasan lain bagi memastikan keselesaan penduduk.

Menurut beliau, tinjauan dilakukan pihaknya mendapati air parit itu mengalir ke satu arah iaitu Sungai Jawi berdekatan Batu Kawan sebelum mengalir ke laut dan boleh menyebabkan pencemaran lebih serius.

“Pencemaran itu juga diyakini mengganggu pemandangan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan yang melalui susur masuk Plaza Tol Batu Kawan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam masa sama, menurut beliau, keadaan Sungai Jawi juga diyakini tidak diurus dengan baik apabila banyak tanaman liar menutupi permukaan dasarnya yang menyebabkan ruang salirannya sempit.

“Selain itu, menurut penduduk, masalah sungai cetek di Sungai Jawi juga diyakini berpunca daripada kerja tanah bagi projek-projek pembangunan yang sedang rancak dibangunkan oleh pihak kerajaan negeri di kawasan itu.

“Banyak aduan penduduk dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab termasuk nelayan yang tidak selesa menggunakan laluan itu untuk ke laut tetapi keadaan tersebut seolah-olah tidak mendapat perhatian,” ujarnya.