Menterinya, Teresa Kok berkata, menerusi Belanjawan 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk pelaksanaan IPG bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah, namun masalah yang dihadapi ketika ini adalah berhubung penetapan paras harga sewajarnya untuk IPG tersebut.

“Saya rasa masalah sekarang adalah tentang paras harga RM2.20 itu, kementerian akan jalankan kajian tentang sama ada IPG terus ditetapkan pada harga RM2.20 atau akan ditambah lagi.

Teresa Kok
TERESA KOK

“Masalahnya kita kena buat kiraan berapa penoreh getah yang layak terima insentif se­perti itu, semua kita kena buat kiraan dan itu memerlukan sedikit masa,” katanya selepas merasmikan Seminar Pelan Bio­sekuriti Bagi Industri Kelapa Sawit Malaysia di Ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Teresa, program aktiviti tambahan seperti penternakan dan penanaman campuran dilihat sebagai kaedah terbaik yang dapat membantu pekebun kecil dan penoreh getah untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Kaedah tanaman campuran dan penternakan ini se­benarnya boleh le­bih membantu pe­noreh getah kerana kita tahu getah ini adalah satu komo­diti yang harganya bukan ditetapkan oleh kerajaan tetapi bergantung kepada permintaan dan pe­nawaran pasaran antarabangsa.

“Apabila harga getah jatuh, penoreh perlu cari pendapatan lain dan mungkin penternakan ataupun penamanan campuran boleh mengatasi masalah yang dihadapi penoreh ketika musim harga getah jatuh dan mereka dapat pendapatan daripada saluran yang lain,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pelan Biosekuriti Bagi Industri Kelapa Sawit Malaysia yang dilancarkan hari ini mengandungi siri prosedur operasi untuk melindungi industri kelapa sawit negara terhadap kemasukan perosak dan penyakit eksotik.

Katanya, ini termasuklah perlindungan tegas di pelabuhan dan lapangan terbang, dan amalan pengurusan di ladang untuk terus mengurangkan risiko serangan terhadap kelapa sawit.